Selasa, 24 Disember 2019

MENJANA MINAT GENERASI MUDA TERHADAP FILEM TEMPATAN

PADA ketika ini mungkin masih ramai khalayak yang belum begitu mengetahui tentang penubuhan Kelab Pencinta Filem yang bertujuan menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap filem tempatan. Telah ditubuhkan 9 Jun tahun lalu dan dirasmikan penubuhannya oleh bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim di London, kelab tersebut telah dilancarkan baru-baru ini bersempena Malam Penghargaan Industri Filem.
Penubuhan kelab tersebut merupakan inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam usaha membudayakan generasi muda khususnya para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mencintai filem-filem tempatan. Di samping itu, penubuhannya juga diharap mampu menjana minat mereka untuk mengetahui dan seterusnya mendalami bidang perfileman.
Sebagai langkah permulaan, sebanyak 10 buah sekolah terpilih yang menyertai kelab ini telah diberikan beberapa kemudahan seperti projektor, skrin, sistem teater rumah, selain ahlinya dipelawa menghadiri beberapa program anjuran Finas. Untuk fasa pertama penubuhannya pada tahun 2007, sejumlah lapan buah kelab merangkumi enam sekolah menengah, sebuah IPTA dan dan Persatuan Pelajar Malaysia di London telah dipilih menjadi peneraju kelab ini.
Sementara tahun ini, sebanyak 31 buah kelab merangkumi 27 buah sekolah menengah dan tiga buah IPTA di seluruh Malaysia telah terpilih yang kebanyakan kelab adalah dari luar bandar. Ia sejajar dengan hasrat Finas untuk menggalakkan para pelajar khususnya di luar bandar untuk bersama-sama mendapat maklumat dan didedahkan tentang dunia dan perkembangan perfileman tanah air.
Minat
Melalui cara itu, sekurang-kurangnya diharap mampu memupuk minat generasi muda terhadap filem tempatan khususnya dalam perkembangan dan pembangunan pesat industri perfileman kita. Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, di samping menggalak dan memupuk minat generasi muda khususnya para pelajar dan mahasiswa untuk mencintai filem-filem tempatan, kelab itu juga memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti perfileman melalui keahlian di dalam kelab.
Melalui aktiviti yang dirangka seperti lawatan, bengkel perfileman, apresiasi filem dan sebagainya, kata Mohd. Mahyidin bukan sahaja akan memberi pendedahan tetapi juga mampu menjana integrasi di antara kaum di negara ini melalui keahlian dan penglibatan mereka di dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Kita melihat bahawa generasi masa kini lebih memberi tumpuan kepada filem-filem luar dan pertumbuhan filem kita pula agak berkurangan biarpun pelbagai promosi dilakukan untuk menarik perhatian dan minat khalayak tempatan. Jadi dalam usaha untuk membudayakan filem tempatan seperti masyarakat Amerika Syarikat dan Eropah maka kita melihat bahawa jika mahu melentur buluh, tentulah ia dari rebungnya, jelas Mohd. Mahyidin.
Salah satu caranya, kata Mohd. Mahyidin, adalah dengan mendekatkan mereka sejak dari awal dengan budaya dan merasai sendiri pengalaman menonton wayang seperti di pawagam yang mempunyai sistem bunyi yang baik dengan skrin yang lebih besar. Justeru, apa yang kita lakukan adalah menyediakan kelab-kelab terpilih ini dengan skrin besar, projektor digital, sistem teater rumah berserta speaker dan pemain digital video (DVD). Dengan cara itu mereka boleh menayangkan filem di dewan dan merasai sendiri persekitaran seperti di sebuah pawagam, jelasnya.
Setiap kelab yang dipilih akan diberikan sekurang-kurangnya 10 buah filem Melayu yang sedia ada dan pada setiap satu atau dua bulan pula, pihaknya akan memberikan DVD filem yang baru untuk tontonan. Dengan setiap kelab dikehendaki mempunyai sekurang-kurangnya 50 keahlian, mereka juga berpeluang menghadiri setiap program anjuran Finas selain mengadakan lawatan ke perbadanan itu, Galeri Perfileman serta menghadiri Festival Filem Malaysia (FFM) dan Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF).
Selain itu, kata Mohd. Mahyidin, ahli kelab juga akan diberikan majalah Sinema Malaysia, beg Kelab Pencinta Filem dan menjadi ahli portal Sinema Malaysia secara percuma. Setiap kelab juga perlu membuat tayangan sekurang-kurangnya dua kali sebulan agar mereka bukan sahaja menonton tetapi juga mengadakan perbincangan antara mereka tentang sesuatu filem yang ditonton. Di harap ia bukan sahaja dapat memperkukuhkan minat mereka untuk menonton filem tempatan tetapi juga memupuk minat untuk mendalami bidang ini dan mungkin menjadikannya sebagai satu profesion tidak kira dalam bidang pengarahan, penulisan skrip mahupun lakonan, kata Mohd. Mahyidin lagi.
Mendapat respons yang baik, sehingga kini kelab tersebut mempunyai kira-kira 3,000 keahlian dan antara program yang telah dijalankan termasuklah sesi diskusi dan apresiasi filem antaranya filem 1957: Hati Malaya, Congkak, Cuci dan Dunia Baru The Movie.
Pengarah filem, Ahmad Idham juga melihat perkembangan penubuhan kelab ini sebagai salah satu tindakan yang positif ke arah memupuk semangat cintakan filem tempatan. Menurut pengarah filem Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Impak Maksima itu, pengukuhan minat haruslah bermula sejak dari akar umbi agar apabila mereka membesar, mereka bukan sahaja menonton filem tempatan sekali gus menyokong perkembangan dan pembangunan industri perfileman itu sendiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penemuan & Kisah Hidup Albert Einstein.

Video Penemuan Dan Kisah Albert Einstein Saintis ini merupakan tokoh paling terkenal di dunia. pada abad ini, ramai yang mencari...